Sila baca juga atikel yang ditulis oleh DR. MOHD. ASRI ZAINUL ABIDIN (pensyarah Bahagian Pengajian Islam Universiti Sains Malaysia (USM) di bawah ini.
Tiada jalan untuk mendapatkan petunjuk Allah melainkan menerusi Islam. Tiada jalan memahami Islam melainkan memahami al-Quran dan as-Sunnah dengan kaedah-kaedahnya yang sahih. Malangnya masih ada di kalangan yang mendakwa diri mereka muslim lebih suka kepada tafsiran-tafsiran Islam yang tidak berteraskan kefahaman yang betul terhadap al-Quran dan as-Sunnah. Di kalangan mereka ada pula yang begitu berminat jika memiliki aliran atau tafsiran agama yang tersendiri dan menyimpang dari petunjuk al-Quran dan as-Sunnah. Antaranya dengan menyertai atau menganut ajaran sebahagian tarekat atau aliran kerohanian yang membuat beberapa tafsiran agama yang sangat bahaya pada penilaian aqidah Islamiyyah.
Golongan seperti ini menganggap diri, guru dan aliran yang mereka ikuti adalah istimewa dan mulia. Mereka bangga dengan tafsiran-tafsiran pelik yang menyimpang jauh dari jalan petunjuk yang sebenar. Mereka mendakwa mereka telah menemui ilmu kerohanian dan makrifat. Justeru itu, mereka tidak lagi bergantung kepada hukum zahir atau kepada syariat yang dipegang golongan zahir atau awam. Mereka mendakwa kononnya mereka adalah golongan batin atau hakikat yang mempunyai ilmu ladunni(ilmu secara langsung dari Allah), kasyaf (singkapan hijab) yang tidak lagi memerlukan lagi nas-nas al-Quran dan as-Sunnah.
Sebenarnya, tarekat atau aliran kesufian yang seperti ini sangat merbahaya kerana menatijahkan kerosakan aqidah dan tulisan ini akan cuba membahaskannya dengan ringkas.